Thursday, 6 October 2016

Syiah: Asal Usul Syiah dan Perkembangan Syiah di Malaysia

Pengenalan

Mutakhir ini, isu Syiah hangat diperkatakan di media sosial dan arus perdana terutama selepas berlakunya perang saudara diantara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Syria. Hal ini menyebabkan fahaman ini mula dikaji dan dibincangkan secara umum oleh para ulama dan ahli agama.

Artikel ini akan membincangkan mengenai epistemologi Syiah dan cara penyebarannya kepada umat Islam di Malaysia. Artikel ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu asal usul Syiah , jenis-jenis Syiah dan cara perkembangan fahaman Syiah di Malaysia.

Asal usul perkataan  Syiah
Perkataan Syiah telah disebut beberapa kali di dalam Al-Quran:


ثُمَّ لَنَنْزِعَنَّ مِنْ كُلِّ شِيعَةٍ أَيُّهُمْ أَشَدُّ عَلَى الرَّحْمَٰنِ عِتِيًّا


 "Sesudah itu, sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap golongan, mana-mana orang yang sangat derhaka kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka (Surah Maryam: 69)".


 وَإِنَّ مِنْ شِيعَتِهِ لَإِبْرَاهِيمَ ۞

"Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim ( Surah As-Saffat: 83)".

Dari segi bahasa, Syiah bermaksud pengikut atau pengiring. Ia juga dapat ditakrifkan sebagai salah satu daripada dua mazhab terpenting dalam Islam yang menolak tiga khalifah ar-Rasyidin yang awal dan menganggap Saidina Ali RA sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW yang sah. (Kamus Dewan, Edisi Keempat).



Asal Usul Syiah dari Pandangan Berbeza

Para penulis sejarah Islam telah berbeza pendapat tentang kemunculan awal Syiah. Berdasarkan pendapat umum, Syiah dikaitkan dengan penyokong fanatik Saidina Ali RA. Penyokong Saidina Ali RA berpendapat, Saidina Ali RA lebih layak untuk menggantikan tempat Rasulullah SAW selepas kewafatan Rasulullah SAW kerana Saidina Ali RA adalah ahlul bait (ahli keluarga Nabi) berbanding dengan sahabat Nabi yang lain (Abdullah Din, 2013). Pendapat ini telah dipegang oleh sebahagian besar penganut Syiah.

Namun, pendapat yang paling masyhur menyatakan bahawa kemunculan pergerakan Abdullah Bin Saba’ (Ibnu Saba’) di penghujung zaman Saidina Uthman RA adalah permulaan kepada gerakan Syiah. Ibnu Saba’ merupakan pengasas Syiah- Al Sabaiyah (Syiah pelampau). Beliau berpura-pura memeluk Islam pada zaman Saidina Uthman Bin Affan RA dengan tujuan untuk mendapat jawatan tertinggi dalam kerajaan tetapi telah ditolak oleh Khalifah Uthman. Beliau menyimpan dendam terhadap Saidina Uthman RA dan telah menjelajah ke seluruh kota untuk menyesatkan umat Islam.

Selain itu, terdapat juga  pendapat yang mengatakan Syiah wujud setelah gagalnya rundingan diantara Saidina Ali RA dan Muawiyah pada Perang Siffin. Kesan daripada peristiwa itu, sebahagian daripada pengikut Saidina Ali RA memberontak terhadap kepimpinannya dan keluar dari pasukan Saidina Ali RA. Mereka yang memberontak digelar Khawarij manakala mereka yang setia digelar Syiah.

Terdapat juga ahli sejarah menyatakan bahawa permulaan Syiah adalah bermula selepas kesyahidan Saidina Hussien. Saidina Hussien telah keluar menuju ke Iraq dari Kufah, Madinah kerana tidak bersetuju dengan perlantikan Yazid Bin Muawiyah sebagai khalifah. Pada peringkat awal, beliau telah dijemput oleh penduduk Iraq yang berjanji akan membantunya tetapi mereka memungkiri janji pada saat-saat akhir dan itu telah menjadi punca kepada kesyahidan Saidina Hussien di pertempuran Karbala. Peristiwa ini telah menyebabkan sebahagian daripada mereka yang mengajaknya keluar menyesal dan bertekad untuk berperang dengan pemerintah Bani Umayyah. Mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan pemerintah Bani Umayyah digelar Syiah.

Pada peringkat awal, Syiah hanyalah sebuah gerakan bersifat politik namun telah bertukar menjadi gerakan akidah selepas kematian Saidina Hussein. Isu akidah ini mula timbul apabila kelompok Syiah menjadi terlalu taksub kepada Saidina Ali RA dan ahlul bait dan memberi label yang tidak baik kepada sahabat- sahabat Nabi Muhammad S.A.W seperti Saidina Abu Bakar Saidina Umar dan Saidina Uthman.

Pembahagian Jenis- jenis Syiah

Syiah terbahagi kepada berpuluh-puluh kelompok bahkan sebahagian pengkaji menyatakan syiah terbahagi kepada 300 puak (Abdullah Din dan Azfar Abdullah, 2013). Antara kelompok-kelompok Syiah adalah Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah, Syiah Zaidiyyah, Syiah Islamiyyah, Syiah Kaisaniyyah dan lain--lain. Menurut Dr. Yusuf Al- Qaradawi, Syiah Zaidiyyah merupakan kelompok Syiah yang paling hampir dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana ajaran yang dibawa tidak menyimpang dengan ajaran Islam yang sebenar.

Mohd Farid Mohd Shahran (2013) menyatakan berdasarkan sejarah Islam, terdapat beberapa kelompok syiah ekstrem antaranya Syiah Al- Saba’iyah, Al-Khattabiyah, Al-Ghurabiyah dan Al-Qaramithah. Kelompok Syiah ekstrem hampir pupus tetapi pandangan mereka masih ada di dalam kitab-kitab ulama seperti Maqalat al- Islamiyyin dan Al-Milal wa Al-Nihal. 

Pada zaman ini, terdapat tiga kelompok Syiah utama iaitu Syiah Ja’fariyyah (Imam 12), Syiah Ismailiyah (Imam 7) dan Syiah Zaidiyah (Imam 5). Syiah Imamiah turut dikenali sebagai Syiah al-Rafidah dan Syiah Ithna Asyariyyah. Abdullah Din dan Azfar Abdullah (2013) menyatakan, Syiah Imamiah merupakan kelompok Syiah yang mempunyai paling ramai pengikut. Kenyataan ini disokong melalui kajian yang dilakukan oleh Pew Research Centre pada tahun 2009, yang membuktikan bahawa 1/3 daripada penganut Syiah adalah daripada kelompok Syiah Imamiah dan mempunyai paling ramai pengikut terutamanya di Iran. Syiah Imamiah terbahagi kepada lima belas kelompok iaitu, Muhammadiah, Baqiriah, Nawuusiah, Syumaitiah, ‘Ammariah, Ismailiah, Mubarakiah, Musawiah, Qat’iah, Isna ‘Asyariah, Hasyimiah, Zurariah, Yunusiah, Syaithaniah dan  Kamiliah.

Syiah Zaidiyyah adalah pengikut kepada Zaid Bin Ali Zainal Abidin bin Husin Bin Ali bin Abi Talib. Ulama mengklasifikasikan Syiah Zaidiyyah dalam golongan mu’tadil (golongan yang masih boleh diajak berbincang). Fahamannya tidak jauh berbeza dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Diantara perbezaan fahaman Syiah Zaidiyyah ialah, mereka hanya mengatakan bahawa Saidina Ali lebih layak memegang jawatan khalifah berbanding dengan para sahabat. Hampir 40 peratus daripada penduduk Yaman adalah daripada  kelompok Syiah Zaidiyyah. Syiah Zaidiyyah terbahagi kepada tiga kelompok iaitu Jurudiah, Jaririah dan Solihiah.

Syiah Ismailiyah (Imam 7) pernah menjadi salah satu kelompok Syiah yang paling berpengaruh diantara mazhab-mazhab Syiah. Dianggarkan terdapat seramai 2 juta orang penganut Syiah Ismailiyah di dunia. Penganut Syiah Ismailiyah berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syria dan Timur Afrika.

Perbezaan pendapat dari segi prinsip, ajaran-ajaran serta perbezaan dalam menentukan kedudukan imam adalah punca kepada perpecahan dalam kelompok Syiah. Namun, mereka bersependapat dalam konsep imamah mereka kepada Saidina Ali RA.

Perkembangan Syiah Di Malaysia

Menurut laporan akhbar, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengesan hampir 250,000 pengikut Syiah yang bergerak aktif di Malaysia. Kemenangan revolusi Islam yang diketuai oleh Ayatullah Al- Khomeini di Iran pada tahun 1979 telah menyebabkan fahaman Syiah disebarkan secara meluas di Malaysia. Ayatullah Khomeini menyatakan perjuangan politik yang barasaskan agama adalah perjuangan utamanya (Yusuf Abdullah Puar, 1979). Revolusi yang menjadikan Iran sebagai Republik Islam telah menyebabkan rakyat Malaysia memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Iran tanpa menyedari fahaman akidah yang dibawa bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Berdasarkan pembacaan dan rujukan berkaitan perkembangan Syiah di Malaysia, penulis merumuskan Syiah berkembang melalui beberapa cara. Antaranya;


a)  Terdapat usaha untuk menghantar pelajar-pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Iran. Pelajar- pelajar ini telah ditawarkan untuk belajar di sana dengan diberikan biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya.

b)  Fahaman Syiah disokong oleh golongan tertentu terutamanya ahli politik yang mempunyai kepentingan tertentu.

c)  Penerangan tentang fahaman Syiah secara tidak langsung melalui lawatan-lawatan yang dilakukan oleh oleh pemimpin-pemimpin Iran ke Malaysia dan lawatan pemimpin Malaysia ke Republik Iran.

d)   Buku-buku tentang fahaman Syiah telah disebarkan dengan meluas dengan menghadiahkan dan memberikan buku-buku tentang fahaman ini kepada perpustakaan umum, masjid dan kedai-kedai  buku.

e)   Perkembangan teknologi maklumat seperti laman sosial dan media memudahkan penganut Syiah untuk menyebarkan fahaman mereka dengan lebih cepat dan pantas.


Rumusan

Jika dilihat daripada perkembangan Syiah masakini, umat Islam harus berhati-hati dengan fahaman yang dibawa kerana fahaman ini bercanggah dari ajaran Islam yang sebenar. Selain itu, fahaman Syiah bukan sahaja melibatkan perbezaan dari sudut perkara-perkara furu’ tetapi turut melibatkan perkara yang berkaitan dengan akidah, syariah dan penyelewengan umum yang lain. Perkembangan fahaman ini perlu disekat agar ia tidak menggugat perpaduan ummah, keutuhan agama dan perpaduan bangsa khususnya di Malaysia.



Bibliografi
                        
Abdullah Bin Din, Azfar Bin Abdullah (2013). Siapa Syiah Sebenarnya. Selangor: One    Touch   Creative

Abdullah Din (2013). Menjawab Putar Belit Syiah. Selangor: One Touch Creative

            Mohd Farid Mohd Shahran (2013, ). Kenali Syiah Imamiyah. Majalah Al-Ustaz, 60-61

Hafiz Zamri (t.t) Sejarah dan Fahaman Syiah. Diakses daripada http://hafizamri.com/sejarah-dan-fahaman-syiah/ pada 24 November 2013

Ibnu Rayid Al Syarkusi (2013). Perpecahan Dalam Fahaman Syiah. Diakses daripada http://kefahaman-selamanya.blogspot.com/2013/04/perpecahan-dalam-fahaman-syiah.html pada 29 November 2013

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2013) Penjelasan Terhadap Fahaman Syiah. Diakses daripada  http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/532-syiah--penjelasan-oleh-jakim.html pada 28 November 2013.
          
Jabatan Mufti (t.t). Penyelewengan Syiah. Diakses daripada http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/PENYELEWENGANSYIAH.pdf   pada 26 Oktober 2013

Tiada Pengarang (2012). Bahaya Syiah. Diakses daripada http://bahayasyiah.blogspot.com/ pada 23 Oktober 2013

Tiada Pengarang (2012). Sejarah Kemunculan Syiah. Diakses daripada http://duniasyiah.blogspot.com/2012/09/sejarah-kemunculan-syiah.html pada 24 November 2013

            Utusan Malaysia (2013, 5 Ogos). Pengikut Syiah Kini Cecah 250000 Orang. Utusan Online. Diakses daripada http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130805/dn_19/Pengikut-Syiah-kini-cecah-250000---KDN pada 26 Oktober 2013


Yusuf Abdullah Puar (1979). Perjuangan Ayatullah Khomeini. Jakarta: Pustaka Antara   Jakarta.

SUNNAH-SUNNAH HARI JUMAAT

Sunnah-sunnah Hari Jumaat.

1⃣ Berselawat kepada Nabi.

Rasulullâh SAW bersabda :
" Perbanyaklah selawat kepadaku di hari Jumaat dan malam Jumaat. Barangsiapa membaca selawat untukku satu kali, maka Allah berselawat (memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali."
📒Hassan, lihat : As-Sahihah Mukhtasarah (lll/397, Asy-Syamilah.

2⃣ Mandi Jumaat dengan tatacara mandi Jinabat.

Waktunya boleh dilakukan setelah Subuh hingga adzan Jumaat.

▶ Diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah bersabda :
"Mandi hari Jumaat adalah wajib atas setiap muslim yang sudah baligh"
(Hadis riwayat Bukhari) (lafaz wajib menguatkan pendapat yg mewajibkan mandi Jumaat)

▶ Dari Samurah bin Jundab, bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda :
"Barangsiapa hanya berwudhu' di hari Jumaat, maka soleh dan baik, dan barangsiapa mandi, maka mandi itu lebih utama."
📒Sahih: Lihat: Sahih wa Dhaif Sunaan Tirmizi (l/497,asy-Syamilah.)

3⃣ Memperbanyakkan Zikir dan Doa.

Kerana pada hari Jumaat, terdapat saat-saat mustajab doa sepertimana yang diisyaratkan Rasulullah bahawa pada saat itu, ia tidak ditolak.

▶ Asy-Syaukani berkata, "Nas-nas telah datang secara mutawatir bahawa pada hari Jumaat terdapat satu saat di mana tidaklah seorang hamba meminta sesuatu kepada Rabb-nya kecuali akan diberikan kepadanya".

▶ Terdapat lebih dari 40 pendapat, tetapi Asy-Syaukani telah menghitungnya, dan dinukil dari al-Muhibb At-Thabari, bahawa ia berkata.
"Paling Sahih di antara hadis-hadis yg menerangkan tentang hal ini adalah hadits Abu Musa bahawa ia mendengar Rasulullah bersabda :
"Saat itu terjadi antara duduknya Imam (ketika khutbah Jumaat) hingga solat (Jumaat) ditunaikan"
📒Hadits riwayat Muslim.

▶ Selepas waktu Asar sebelum Maghrib berdasarkan hadis Nabi :

يَوْمُ الجُمُعة ثِنْتَا عَشْرَةَ سَاعَةً ، لاَ يُوجَد فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ الله شَيْئاً إِلاَّ آتَاهُ إِيَّاهُ ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ العَصْر

Erti : Hari Jumaat ada 12 bahagian masa yang mana tiada seorang hamba muslim berdoa padanya kecuali akan diberikan (maqbul), maka CARILAH IA di HUJUNG WAKTU SELEPAS ASAR"
📒Hadis riwayat Abu Daud- hadis Sahih.

❗❗Yakinlah akan dimaqbul doa sewaktu berdoa dan muhasabah diri akan hal yang boleh menggugat kemaqbulan doa seperti harta haram dan dosa-dosa yang belum bertaubat dan istighfar.

Wallahua'lam.
Page :- Syababul Islam

Friday, 12 August 2016

MAKNA ISLAM MENURUT AL QURAN DAN HADITH






Makna Islam dapat dilihat dari dua sudut. Pertama, dari segi bahasa. Kedua, dari segi istilah. Dari segi bahasa, Islam dapat difahami dari beberapa hal yang berikut:-
  1. Islam bererti “menundukkan wajah”. Pengertian ini dapat ditemukan di dalam Al Qur’an (QS An Nisa’, 4: 125).
  2. Islam bererti “berserah diri”. Pengertian ini sesuai dengan firman Allah dalam Al Qur’an (QS Al Baqarah, 2: 131; Ali Imran, 3: 83).
  3. Islam bererti “suci bersih”. Pengertian ini seperti terdapat dalam Al Qur’an (QS Asy Syu’ara, 26: 89).
  4. Islam bererti “selamat dan sejahtera”. Pengertian ini seperti tertulis dalam Al Qur’an (QS Al An’am, 6: 54).
  5. Islam bererti “perdamaian”. Pengertian ini dapat dilihat dalam Al Qur’an (QS Muhammad, 47: 35).
ISLAM SECARA ISTILAH
Secara istilah, Islam bererti ketundukan kepada wahyu Allah yang diturunkan kepada para nabi dan rasul, khususnya Nabi Muhammad saw., sebagai hukum Allah, yang membimbing manusia ke jalan lurus menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.
ISLAM ITU KASIH SAYANG
Makna  dasar kata “Islam” adalah “damai atau kasih sayang”. Oleh kerana itu, seorang beragama Islam atau muslim semestinya penuh dengan kedamaian atau kasih sayang.
ISLAM ITU LIMA PERKARA
Rasulullah saw. pernah ditanya oleh Malaikat Jibril mengenai apa itu Islam. Beliau kemudian menjawab sebagai berikut.
“Islam itu didirikan atas lima perkara: bersaksi bahwa tidak ada tuhan yang patut disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah; mendirikan shalat; membayar zakat; menunaikan ibadah haji, dan berpuasa pada bulan Ramadhan.” (HR Bukhari)
Islam disebut agama Allah kerana asalnya dari Allah, bukan dari manusia. Allah Swt. berfirman dalam Al Qur’an sebagai berikut.
“Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam.” (QS Ali Imran, 3: 19)
ISLAM AGAMA PARA NABI
Islam merupakan agama para nabi mulia, dari Nabi Adam a.s. sampai nabi terakhir, Muhammad saw. Dalam Al Qur’an disebutkan bahawa agama Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. diturunkan juga kepada para nabi lainnya.
DOA PARA NABI UNTUK BERISLAM
Nabi Nuh a.s. berkata, “… dan aku disuruh supaya tergolong orang-orang yang berserah diri kepada Allah.”(QS Yunus, 10: 72)
Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. juga berkata, “Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua sebagai orang-orang yang berserah diri kepada-Mu.” (QS Al Baqarah, 2: 128)
Nabi Ya’qub a.s. pun mewasiatkan Islam kepada putra-putranya. “… Hai anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama untukmu,  maka janganlah kamu mati kecuali sedang tetap memeluk agama Islam.” (QS Al Baqarah, 2: 132)
Nabi Musa a.s. menegaskan seperti dinyatakan dalam Al Qur’an. “… maka hendaknya hanya kepada-Nya kamu bertawakal jika kamu benar-benar orang yang berserah diri (kepada-Nya).” (QS Yunus, 10: 84)
Al Qur’an juga menceritakan permohonan Islam Nabi Yusuf a.s. “… wafatkanlah aku sebagai seorang mulsim dan gabungkanlah aku bersama orang-orang yang saleh.”(QS Yusuf, 10: 101)
Nabi Isa a.s. dan para pengikutnya, Hawariyyin,diceritakan dalam Al Qur’an menyatakan diri sebagai muslim. “… Kami beriman kepada Allah dan kami bersaksi sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri.” (QS Ali Imran, 3: 52)
Islam adalah agama yang benar. Oleh kerana itu, yang bertentangan dengan Islam adalah batil. Hal ini seperti difirmankan Allah dalam Al Qur’an sebagai berikut.
 “… maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan….” (QS Yunus, 10: 32)
ISLAM ITU AGAMA YANG TINGGI
Pemahaman Islam yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya adalah Islam yang memiliki ketinggian tiada yang menandinginya. Al Islaamu ya’luu walaa yu’laa ‘alaihi. Islam itu tinggi dan tiada yang menandinginya.
Islam tidak dapat disamakan dengan agama yang lain. Islam memiliki ciri dan sifat-sifat tertentu yang menggambarkan kehidupan manusia secara keseluruhan. Islam adalah agama yang mengatur hidup seperti makan, minum, tidur, berjuang, bahkan urusan bernegara.
Islam itu adalah hukum-hukum Allah yang terkandung dalam Al Qur’an dan Al Hadits. Islam juga merupakan keselamatan dunia dan akhirat. Ertinya, ketika mengajak umat manusia untuk memeluk Islam bererti mengajak kepada keselamatan dunia dan akhirat.
Oleh kerana itu, Islam mengangkat darjat orang beriman sebagai khalifah yang diberi amanah membina dan memelihara semua makhluk hidup.