Pengenalan
Mutakhir ini, isu Syiah hangat diperkatakan di media sosial
dan arus perdana terutama selepas berlakunya perang saudara diantara Syiah dan
Ahli Sunnah Wal Jamaah di Syria. Hal ini menyebabkan fahaman ini mula dikaji
dan dibincangkan secara umum oleh para ulama dan ahli agama.
Artikel ini akan membincangkan mengenai epistemologi Syiah
dan cara penyebarannya kepada umat Islam di Malaysia. Artikel ini terbahagi
kepada tiga bahagian iaitu asal usul Syiah , jenis-jenis Syiah dan cara
perkembangan fahaman Syiah di Malaysia.
Asal usul perkataan
Syiah
Perkataan Syiah telah disebut beberapa kali di dalam
Al-Quran:
"Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan
(ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim ( Surah As-Saffat: 83)".
Dari segi bahasa, Syiah bermaksud pengikut atau pengiring.
Ia juga dapat ditakrifkan sebagai salah satu daripada dua mazhab terpenting
dalam Islam yang menolak tiga khalifah ar-Rasyidin yang awal dan menganggap
Saidina Ali RA sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW yang sah. (Kamus Dewan,
Edisi Keempat).
Asal Usul Syiah dari Pandangan Berbeza
Para penulis sejarah Islam telah berbeza pendapat tentang
kemunculan awal Syiah. Berdasarkan pendapat umum, Syiah dikaitkan dengan
penyokong fanatik Saidina Ali RA. Penyokong Saidina Ali RA berpendapat, Saidina
Ali RA lebih layak untuk menggantikan tempat Rasulullah SAW selepas kewafatan Rasulullah
SAW kerana Saidina Ali RA adalah ahlul bait (ahli keluarga Nabi) berbanding
dengan sahabat Nabi yang lain (Abdullah Din, 2013). Pendapat ini telah dipegang
oleh sebahagian besar penganut Syiah.
Namun, pendapat yang paling masyhur menyatakan bahawa
kemunculan pergerakan Abdullah Bin Saba’ (Ibnu Saba’) di penghujung zaman
Saidina Uthman RA adalah permulaan kepada gerakan Syiah. Ibnu Saba’ merupakan
pengasas Syiah- Al Sabaiyah (Syiah pelampau). Beliau berpura-pura memeluk Islam
pada zaman Saidina Uthman Bin Affan RA dengan tujuan untuk mendapat jawatan
tertinggi dalam kerajaan tetapi telah ditolak oleh Khalifah Uthman. Beliau
menyimpan dendam terhadap Saidina Uthman RA dan telah menjelajah ke seluruh
kota untuk menyesatkan umat Islam.
Selain itu, terdapat juga
pendapat yang mengatakan Syiah wujud setelah gagalnya rundingan diantara
Saidina Ali RA dan Muawiyah pada Perang Siffin. Kesan daripada peristiwa itu,
sebahagian daripada pengikut Saidina Ali RA memberontak terhadap kepimpinannya
dan keluar dari pasukan Saidina Ali RA. Mereka yang memberontak digelar
Khawarij manakala mereka yang setia digelar Syiah.
Terdapat juga ahli sejarah menyatakan bahawa permulaan Syiah
adalah bermula selepas kesyahidan Saidina Hussien. Saidina Hussien telah keluar
menuju ke Iraq dari Kufah, Madinah kerana tidak bersetuju dengan perlantikan
Yazid Bin Muawiyah sebagai khalifah. Pada peringkat awal, beliau telah dijemput
oleh penduduk Iraq yang berjanji akan membantunya tetapi mereka memungkiri
janji pada saat-saat akhir dan itu telah menjadi punca kepada kesyahidan
Saidina Hussien di pertempuran Karbala. Peristiwa ini telah menyebabkan
sebahagian daripada mereka yang mengajaknya keluar menyesal dan bertekad untuk
berperang dengan pemerintah Bani Umayyah. Mereka yang terbunuh dalam
pertempuran dengan pemerintah Bani Umayyah digelar Syiah.
Pada peringkat awal, Syiah hanyalah sebuah gerakan bersifat
politik namun telah bertukar menjadi gerakan akidah selepas kematian Saidina
Hussein. Isu akidah ini mula timbul apabila kelompok Syiah menjadi terlalu
taksub kepada Saidina Ali RA dan ahlul bait dan memberi label yang tidak baik
kepada sahabat- sahabat Nabi Muhammad S.A.W seperti Saidina Abu Bakar Saidina
Umar dan Saidina Uthman.
Pembahagian Jenis- jenis Syiah
Syiah terbahagi kepada berpuluh-puluh kelompok bahkan
sebahagian pengkaji menyatakan syiah terbahagi kepada 300 puak (Abdullah Din
dan Azfar Abdullah, 2013). Antara kelompok-kelompok Syiah adalah Syiah
Imamiyyah Ithna Asyariyyah, Syiah Zaidiyyah, Syiah Islamiyyah, Syiah Kaisaniyyah
dan lain--lain. Menurut Dr. Yusuf Al- Qaradawi, Syiah Zaidiyyah merupakan
kelompok Syiah yang paling hampir dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana
ajaran yang dibawa tidak menyimpang dengan ajaran Islam yang sebenar.
Mohd Farid Mohd Shahran (2013) menyatakan berdasarkan
sejarah Islam, terdapat beberapa kelompok syiah ekstrem antaranya Syiah Al-
Saba’iyah, Al-Khattabiyah, Al-Ghurabiyah dan Al-Qaramithah. Kelompok Syiah
ekstrem hampir pupus tetapi pandangan mereka masih ada di dalam kitab-kitab
ulama seperti Maqalat al- Islamiyyin dan Al-Milal wa Al-Nihal.
Pada zaman ini, terdapat tiga kelompok Syiah utama iaitu
Syiah Ja’fariyyah (Imam 12), Syiah Ismailiyah (Imam 7) dan Syiah Zaidiyah (Imam
5). Syiah Imamiah turut dikenali sebagai Syiah al-Rafidah dan Syiah Ithna
Asyariyyah. Abdullah Din dan Azfar Abdullah (2013) menyatakan, Syiah Imamiah
merupakan kelompok Syiah yang mempunyai paling ramai pengikut. Kenyataan ini
disokong melalui kajian yang dilakukan oleh Pew Research Centre pada tahun
2009, yang membuktikan bahawa 1/3 daripada penganut Syiah adalah daripada
kelompok Syiah Imamiah dan mempunyai paling ramai pengikut terutamanya di Iran.
Syiah Imamiah terbahagi kepada lima belas kelompok iaitu, Muhammadiah,
Baqiriah, Nawuusiah, Syumaitiah, ‘Ammariah, Ismailiah, Mubarakiah, Musawiah,
Qat’iah, Isna ‘Asyariah, Hasyimiah, Zurariah, Yunusiah, Syaithaniah dan Kamiliah.
Syiah Zaidiyyah adalah pengikut kepada Zaid Bin Ali Zainal
Abidin bin Husin Bin Ali bin Abi Talib. Ulama mengklasifikasikan Syiah
Zaidiyyah dalam golongan mu’tadil (golongan yang masih boleh diajak berbincang).
Fahamannya tidak jauh berbeza dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Diantara
perbezaan fahaman Syiah Zaidiyyah ialah, mereka hanya mengatakan bahawa Saidina
Ali lebih layak memegang jawatan khalifah berbanding dengan para sahabat.
Hampir 40 peratus daripada penduduk Yaman adalah daripada kelompok Syiah Zaidiyyah. Syiah Zaidiyyah
terbahagi kepada tiga kelompok iaitu Jurudiah, Jaririah dan Solihiah.
Syiah Ismailiyah (Imam 7) pernah menjadi salah satu kelompok
Syiah yang paling berpengaruh diantara mazhab-mazhab Syiah. Dianggarkan
terdapat seramai 2 juta orang penganut Syiah Ismailiyah di dunia. Penganut
Syiah Ismailiyah berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran,
Syria dan Timur Afrika.
Perbezaan pendapat dari segi prinsip, ajaran-ajaran serta
perbezaan dalam menentukan kedudukan imam adalah punca kepada perpecahan dalam
kelompok Syiah. Namun, mereka bersependapat dalam konsep imamah mereka kepada
Saidina Ali RA.
Perkembangan Syiah Di Malaysia
Menurut laporan akhbar, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah
mengesan hampir 250,000 pengikut Syiah yang bergerak aktif di Malaysia.
Kemenangan revolusi Islam yang diketuai oleh Ayatullah Al- Khomeini di Iran
pada tahun 1979 telah menyebabkan fahaman Syiah disebarkan secara meluas di Malaysia.
Ayatullah Khomeini menyatakan perjuangan politik yang barasaskan agama adalah
perjuangan utamanya (Yusuf Abdullah Puar, 1979). Revolusi yang menjadikan Iran
sebagai Republik Islam telah menyebabkan rakyat Malaysia memberi sokongan penuh
kepada Kerajaan Iran tanpa menyedari fahaman akidah yang dibawa bertentangan
dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Berdasarkan pembacaan dan rujukan berkaitan perkembangan
Syiah di Malaysia, penulis merumuskan Syiah berkembang melalui beberapa cara.
Antaranya;
a) Terdapat usaha
untuk menghantar pelajar-pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Iran.
Pelajar- pelajar ini telah ditawarkan untuk belajar di sana dengan diberikan
biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya.
b) Fahaman Syiah
disokong oleh golongan tertentu terutamanya ahli politik yang mempunyai
kepentingan tertentu.
c) Penerangan tentang
fahaman Syiah secara tidak langsung melalui lawatan-lawatan yang dilakukan oleh
oleh pemimpin-pemimpin Iran ke Malaysia dan lawatan pemimpin Malaysia ke Republik
Iran.
d) Buku-buku tentang
fahaman Syiah telah disebarkan dengan meluas dengan menghadiahkan dan
memberikan buku-buku tentang fahaman ini kepada perpustakaan umum, masjid dan
kedai-kedai buku.
e) Perkembangan
teknologi maklumat seperti laman sosial dan media memudahkan penganut Syiah
untuk menyebarkan fahaman mereka dengan lebih cepat dan pantas.
Rumusan
Jika dilihat daripada perkembangan Syiah masakini, umat
Islam harus berhati-hati dengan fahaman yang dibawa kerana fahaman ini
bercanggah dari ajaran Islam yang sebenar. Selain itu, fahaman Syiah bukan
sahaja melibatkan perbezaan dari sudut perkara-perkara furu’ tetapi turut
melibatkan perkara yang berkaitan dengan akidah, syariah dan penyelewengan umum
yang lain. Perkembangan fahaman ini perlu disekat agar ia tidak menggugat
perpaduan ummah, keutuhan agama dan perpaduan bangsa khususnya di Malaysia.
Bibliografi
Abdullah Bin Din, Azfar Bin Abdullah (2013). Siapa Syiah
Sebenarnya. Selangor: One Touch Creative
Abdullah Din (2013). Menjawab Putar Belit Syiah. Selangor:
One Touch Creative
Mohd Farid
Mohd Shahran (2013, ). Kenali Syiah Imamiyah. Majalah Al-Ustaz, 60-61
Hafiz Zamri (t.t) Sejarah dan Fahaman Syiah. Diakses
daripada http://hafizamri.com/sejarah-dan-fahaman-syiah/ pada 24 November 2013
Ibnu Rayid Al Syarkusi (2013). Perpecahan Dalam Fahaman
Syiah. Diakses daripada
http://kefahaman-selamanya.blogspot.com/2013/04/perpecahan-dalam-fahaman-syiah.html
pada 29 November 2013
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2013) Penjelasan Terhadap
Fahaman Syiah. Diakses daripada
http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/532-syiah--penjelasan-oleh-jakim.html
pada 28 November 2013.
Jabatan Mufti (t.t). Penyelewengan Syiah. Diakses daripada
http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/PENYELEWENGANSYIAH.pdf pada 26 Oktober 2013
Tiada Pengarang (2012). Bahaya Syiah. Diakses daripada
http://bahayasyiah.blogspot.com/ pada 23 Oktober 2013
Tiada Pengarang (2012). Sejarah Kemunculan Syiah. Diakses
daripada http://duniasyiah.blogspot.com/2012/09/sejarah-kemunculan-syiah.html
pada 24 November 2013
Utusan
Malaysia (2013, 5 Ogos). Pengikut Syiah Kini Cecah 250000 Orang. Utusan Online.
Diakses daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130805/dn_19/Pengikut-Syiah-kini-cecah-250000---KDN
pada 26 Oktober 2013
Yusuf Abdullah Puar (1979). Perjuangan Ayatullah Khomeini.
Jakarta: Pustaka Antara Jakarta.
No comments:
Post a Comment